IPOH: MCA berharap semua rakyat Malaysia dan parti-parti politik memberi lebih tumpuan kepada isu-isu kebersamaan yang menjurus kepada kepentingan rakyat semua kaum dan pembangunan negara.

 

Menurut Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan, parti itu berpendapat isu-isu  sensitif yang melibatkan agama, walaupun tidak melibatkan masyarakat bukan Islam namun ia boleh mencetuskan kebimbangan kepada rakyat terutama golongan muda.

 

“Isu agama ini sangat sensitif kerana apabila kita menyuarakan pandangan, kita diiktiraf sebagai anti Islam kerana campurtangan dalam hal ehwal agama Islam.

 

“Kalau kita ada isu-isu yang berbeza pandangan maka ada kekuatiran, ada kebimbangan maka ia akan pecah-belahkan rakyat di negara ini.

 

“Sebenarnya MCA bukan berhasrat begitu kerana isu ini (agama Islam) walaupun ia tidak melibatkan masyarakat bukan Islam tetapi kita dapat maklumat bahawa di kalangan masyarakat bukan Islam terutamanya golongan muda, mereka merasa bimbang,” katanya.

 

Ka Chuan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Pergerakan Wanita MCA Perak  di Wisma Persatuan Bulan Sabit Merah, Jalan Kompleks Sukan Ipoh pada Ahad. Hadir sama Ketua Wanita MCA Kebangsaan, Datuk Heng Seai Kie.

 

Beliau mengulas mengenai perhimpunan Pindaan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) di Padang Merbok Kuala Lumpur semalam yang dihadiri lebih kurang 20,000 peserta.

 

Menurut Ka Chuan, isu atau topik yang melibatkan kebersamaan seperti pendidikan, membantu rakyat miskin di desa, pembangunan ekonomi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat perlu diberi penekanan oleh semua pihak termasuk parti-parti politik.

 

Beliau turut menyebut dalam kajian sejarah, junjungan besar Nabi Muhammad sendiri pernah menyebut `menuntut ilmu sampai ke negara China’ dan ramai para pemimpin Islam telah menjejakkan kaki ke negara China semasa zaman pemerintahan Dinasti Tang.

 

Menurut Ka Chuan, beliau telah mengkaji sejarah itu dan memang benar terdapat pemimpin Islam yang pernah menjejakkan kaki ke negara China dan buktinya masih ada masjid-masjid yang berusia 1000 tahun dibina di China.

 

Katanya, ini jelas menunjukkan tidak timbul masalah kerana sudah ada nilai kebersamaan dalam soal ilmu di antara pemimpin Islam dengan pemimpin di negara China pada waktu itu.