BATU GAJAH: Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) berharap kawasan Botani dapat dimasukkan ke bawah pertadbiran majlis itu bagi menaikkan tarafnya menjadi majlis perbandaran.

Yang Dipertuanya, Mohd Razif Ramli berkata, langkah itu selaras dengan sasaran kerajaan negeri untuk menjadikan empat majlis daerah, termasuk MDBG, kepada majlis perbandaran, menjelang tahun 2020.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan cuba meningkatkan hasil pendapatan di samping memberi perkhidmatan kepada rakyat, setaraf dengan perkhidmatan yang diberikan pihak majlis perbandaran.

“Mulai saat ini, kita perlu berfikir dan merasakan seolah-olah kita ini adalah majlis perbandaran, perkhidmatan yang kita berikan kena taraf perbandaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpahnya sebagai Yang Dipertua MDBG yang baharu di sini pada Selasa.

Hadir sama Ketua Ahli MDBG, Datuk Wira Mohd Yusoff Kasim dan Setiausaha MDBG, Shahiri Tan.

d644d826-0ebe-402a-8a61-ea49c8377b6eRazif memohon kepada pihak kerajaan negeri supaya memasukkan kawasan Botani ke bawah pentadbiran MDBG, seperti yang diperjuangkan oleh ahli majlis sejak lebih setahun lalu.

Sementara itu, Yusoff berkata, kawasan Botani telah diwartakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di dalam kawasan Pejabat Daerah dan Tanah Batu Gajah sejak hampir dua tahun lalu.

“Kami telah banyak mengalah seperti menyerahkan RTC Gopeng kepada Majlis Daerah Kampar dan sebagainya, jadi apalah salahnya Botani diberikan kepada kami, tambahan pula ia tidak akan menjejaskan Majlis Bandaraya Ipoh,” ujarnya.

Yusoff berkata, jika Botani diletakkan di bawah pertadbiran MDBG ia akan menambah pendapatan majlis lebih RM2 juta setahun, sekaligus memudahkannya mendapat taraf majlis perbandaran.

Antara syarat mendapat taraf majlis perbandaran ialah pendapatan tahunan melebihi RM20 juta sedangkan buat masa ini MDBG memperolehi pendapatan tahunan kira-kira RM17 juta.

MDBG ditubuhkan pada 1 September 1979 dengan nama asalnya Majlis Daerah Kinta Barat (MDKB) yang ditukar kepada MDBG pada 26 Mac 2009 dengan keluasan pentadbiran lebih 67,000 hektar dan penduduk lebih 120,000 orang.