IPOH: Media arus perdana (MSM) antarabangsa dilihat mengambil pendekatan tidak mendedahkan kebenaran kepada masyarakat termasuk ketidakadilan yang dilakukan oleh pihak tertentu atau kuasa tertinggi sesebuah negara.

Presiden International Movement of Just World, Dr. Chandra Muzaffar mendakwa, tindak-tanduk MSM antarabangsa yang menyembunyikan dasar atau aktiviti pihak tersebut boleh memudaratkan manusia.

“Pada pendapat saya, apa yang cuba disembunyikan ini telah membawa malapetaka kepada berjuta-juta manusia yang terbunuh akibat daripada tindakan pihak-pihak tertentu iaitu mereka yang menguasai dunia.

“Media yang saya maksudkan itu ialah seperti CNN, New York Times dan sebagainya, adakalanya mereka (media) dengan sengaja menyembunyikan kebenaran daripada khalayak ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia ke-4 (WCIT 2017) di sini, semalam.

Terdahulu, Chandra yang juga Pengerusi Yayasan 1Malaysia menjadi seorang daripada pembentang kertas kerja bertajuk Power, Politics and The Media (Kuasa, Politik dan Media).

Beliau berkata, melalui media baharu, rakyat tetap dapat mengetahui sebarang isu termasuk di peringkat antarabangsa walaupun tanpa pendedahan oleh media arus perdana.

Mengulas mengenai WCIT 2017, Chandra berkata, ia dapat mempertingkatkan kesedaran masyarakat dalam mencapai matlamat paling murni iaitu keamanan sejagat selain membincangkan isu-isu seperti media, konflik dan sebagainya.

WCIT 2017 yang bertemakan Keamanan Global berlangsung selama dua hari bermula Isnin, dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan dihadiri oleh peserta-peserta daripada lebih 15 negara.