PENGENDALI Perak, Mehmet Durakovic tidak mahu menyalahkan kaptennya, Shahrom Kalam walaupun kesilapan pemain itu memaksa The Bos Gaurus terikat 1-1 ketika menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak , Jengka kelmarin.

Menurutnya, kesilapan dilakukan Shahrom itu boleh terjadi kepada semua pemain.

“Dia (Shahrom Kalam) bermain dengan baik dan ia hanya satu kesilapan. Ini adalah bola sepak di mana semua perkara boleh terjadi.

“Jadi, saya tidak mahu salahkan sesiapa kerana semua pemain telah tunjukkan permainan yang baik,” katanya.

Kata Mehmet lagi, beliau cukup berpuas hati persembahan pemainnya yang disifatkan memenuhi kriteria selain matlamat mendapatkan satu mata di Jengka berhasil.

Jelasnya, pemain mengikut arahan diberikan dengan baik untuk memastikan pasukan tersebut kekal di tempat teratas kumpulan B.

“Saya melihat dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Walaupun berada di kedudukan teratas kumpulan, ia masih belum cukup selesa buat kami.

“Saingan peringkat kumpulan masih berbaki dua perlawanan dan kami mahu buat yang terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.

-SinarHarian