KUALA KANGSAR 10 Nov. – Kehadiran pemain tengah Terengganu, J. Partiban dalam skuad The Bos Gaurus diyakini akan menguatkan jentera pasukan Perak bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, bekas pemain Perak itu adalah seorang pemain yang baik dan diyakini mampu beraksi cemerlang bersama pasukan tersebut.

“Saya gembira Partiban menyertai pasukan Perak, dia adalah seorang pemain tengah yang bagus dan yakin dapat memperkuatkan pasukan bagi mengharungi musim akan datang,” katanya.

Beliau ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Kepute­raan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Partiban, 26, menjadi pemain pertama yang ditandatangani pasukan Perak dengan mengikat kontrak selama setahun kelmarin.-UTUSAN ONLINE