REMBAU – Seorang pekerja syarikat swasta nyaris ditipu seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai mekanik ketika kereta jenis Proton Waja dipandunya rosak, sebelum Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Pedas – Linggi (arah selatan), Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, pekerja yang hanya ingin dikenali sebagai Adam, 30-an, segera menghubungi Plus bagi memohon bantuan menunda kenderaannya ke tempat yang lebih selamat.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Shah Alam, Selangor menuju ke Melaka.

“Tiba-tiba saya rasa bahagian enjin kereta mengalami masalah serta segera berhentikan kenderaan di bahu jalan.

“Lepas tu enjin kereta saya terus tidak dapat dihidupkan… rupa-rupanya pam minyak dan penapis minyak rosak serta perlu diganti. Saya dihampiri seorang lelaki yang menaiki kereta lama menawarkan khidmat membaiki kereta saya.

“Dia menyatakan saya perlu membayarnya sebanyak RM250 bagi kerja-kerja berkenaan. Saya lihat barang yang hendak digunakannya itu sudah pun berminyak serta bertukar warna tetapi dia mengenakan bayaran yang agak tinggi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Adam berkata, dia bagaimanapun mengambil nombor telefon lelaki berkenaan dan menunggu sehingga pihak Plus tiba bagi menunda keretanya ke hentian RnR Pedas Linggi.

Menurutnya, sebaik ditunda dia pulang ke Melaka, namun berasa bimbang apabila kereta ditinggalkan di lokasi berkenaan dan segera menghubungi lelaki itu kembali.

“Dari RM250, lelaki itu menaikkan harga sehingga RM500. Saya rasa seperti akan ditipu lebih banyak lagi. Saya tidak jadi guna khidmat lelaki itu. Saya hubungi rakan di Rembau bagi membantu mencari mekanik lain.

“Saya beli barang sendiri yang baru dan upah tak sampai RM250 pun. Saya harap agar pengguna jalan raya terutamanya yang melalui lebuh raya Plus agar tidak tertipu dengan mekanik ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, sehingga kini pihaknya tidak pernah menerima laporan berhubung penipuan seperti itu.

Menurutnya, pihaknya berharap pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati serta menghubungi Plus bagi bantuan lanjut sekiranya mengalami kerosakan kenderaan.

-SinarHarian