SUNGAI SIPUT: Seorang mekanik kereta mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Isnin atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam yang membuat pemantauan Op COVID-19, tiga hari lalu.

Mekanik, S. Punniamurthy, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menghalang tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintenden Juna Yusoff dengan enggan menunjukkan pengenalan diri apabila diminta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan rumahnya di Taman Orkid, Sungai Siput kira-kira jam 10 malam, 20 Mac lalu.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian tertuduh sedang minum dan mabuk dan telah menolak pegawai polis berkenaan selepas enggan menunjukkan kad pengenalan diri.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Norhabsarina kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara 10 bulan jika tertuduh gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Hanis Mohd Zaini.