KLANG: Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu laju secara melulu dan berbahaya dalam insiden rempuhan peserta larian Klang City International Marathon di daerah ini, tahun lalu.

Tertuduh, Teoh Thiam Lim, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu PROTON Iswara secara melulu atau dengan kelajuan atau cara berbahaya kepada orang awam di Batu 2, Jalan Kapar di sini, kira-kira jam 4.30 pagi, 10 Disember 2017.

Justeru, Thiam Lim didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Abd Aziz menawarkan ikat jamin RM8,000 ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Roslizi kemudian membenarkan kos RM5,500 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Mac depan.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang parah, manakala dua lagi peserta larian itu cedera selepas dilanggar PROTON Iswara dari arah belakang di lokasi kejadian.

Dalam kejadian pada jam 4.30 pagi itu, larian bermula dari Stadium Pandamaran, Klang dan mangsa yang terbabit adalah Evelyn Ang Gek Suan, 44, Amiruddin Hamid, 37, serta Ahmad Hadafi Jus, 42.

Kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta itu merempuh bahagian belakang peserta larian ketika melalui jalan berkenaan.

Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Evelyn Ang parah di bahagian kepala dan rahang, Amiruddin cedera di kepala dan Ahmad Hadafi mengalami kecederaan di kaki.

Difahamkan, sehingga kini Evelyn Ang masih koma dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh – berita harian