Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TELUK INTAN: Kerajaan Negeri Perak menggesa Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk merangka mekanisme latihan strategik bagi mengenal pasti individu paralimpik yang berpotensi untuk diasah sebagai atlet berprestasi tinggi atau High Performance Athlete.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, satu modul latihan asas perlu diselaraskan agar pihak berwajib mampu menonjolkan bakat mereka dalam sukan paralimpik dan sekaligus mengharumkan nama negara satu hari kelak.

Menurut beliau, buat masa ini MSN dan KBS mempunyai ruang latihan yang sistematik khusus buat atlet paralimpik berkelas kebangsaan dan dunia namun mungkin agak kekurangan dari segi pendekatan di peringkat negeri.

“Apa yang saya harapkan adalah satu platform khusus untuk melatih atlet paralimpik yang datangnya dari peringkat sekolah, daerah dan negeri kerana buat masa ini, proses mengenalpasti tidak mempunyai asas yang setaraf dengan High Performance Athlete di peringkat kebangsaan.

“Saya yakin, banyak lagi bakat tersembunyi yang ada di setiap negeri, justeru pendekatan perlu dilaksanakan secara bersepadu oleh pihak berwajib untuk memburu bakat-bakat baru di Malaysia, apatah lagi dengan kejayaan sukan paralimpik yang menjulang nama Malaysia baru-baru ini,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Penutupan Kem Inspire I-Talent dan Pelancaran Pusat Latihan Atlit Para Negeri Perak di Grand Court Hotel, di sini pada petang Jumaat.

Lebih daripada 100 atlet paralimpik yang datang dari seluruh negeri Perak mengikuti kem Inspire I-Talent berlangsung selama 3 hari sejak Rabu lepas yang bertujuan membentuk jatidiri, menyuntik semangat motivasi dan seterusnya mengenalpasti bakat terpendam atlit para di peringkat negeri.

ADUN Rungkup itu berkata, Perak sebelum ini telah menjadi negeri pertama yang mengikuti jejak langkah kerajaan pusat untuk memberikan insentif kemenangan setimpal kepada atlet paralimpik seperti yang dihadiahkan kepada atlet biasa.

Justeru, Shahrul Zaman berharap agar pengupayaan dan sokongan motivasi melalui Pusat Latihan Negeri (PLN) atlet paralimpik ini akan menjadi satu landasan permulaan bagi proses mengenalpasti bakat selain mula menjaga kebajikan mereka dengan lebih baik.

“Sebelum ini kita telah melancarkan Program Podium Perak buat atlet negeri jadi saya kira tidak salah untuk kita meneraju kerjasama bersama kerajaan pusat untuk melatih mereka menggunakan pakar dan jurulatih kerana siapa tahu ada di antara mereka juga berpotensi ke peringkat dunia.

“Ada kalanya, mata kasar kita tidak dapat mengenali dan mengesan bakat sukan atlet paralimpik ini, jadi saya harap kita akan dapat melaksanakan sinergi bersama KBS dan MSN, selaraskan latihan dan lakukan sebaiknya untuk individu luar biasa ini,” katanya lagi.