IPOH: Buat julung kalinya, sekumpulan pelajar seni akan mempamerkan lukisan mereka dalam pameran ‘From the Art Room’ di 22 Hale Street, September ini.

Pameran 14 dan 15 September itu dianjurkan The Ipoh Fine Art Class dengan kerjasama 22 Hale Street dan PORT.

Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Khairuddin berkata, pameran akan menonjolkan 40 hasil karya kira-kira 20 pelukis yang berumur antara 7 hingga lebih 70 tahun.

“Karya-karya seni yang ditampilkan ini dihasilkan menggunakan pelbagai jenis bahan seperti cat minyak, cat air, pensil, pensil warna dan pen,” katanya dalam sidang media di PORT di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah PORT, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan guru seni serta pengasas The Find Art Class, Abdul Kareem Jaafar Azzuddin.

Hanim berkata, pameran itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar di samping membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Sebahagian keuntungan hasil jualan akan disumbangkan kepada rumah-rumah kebajikan untuk membeli bahan-bahan pendidikan seperti buku dan peralatan melukis,” ujarnya.

Sementara itu Kareem berkata, para pelajarnya cukup teruja untuk menyertai pameran itu di samping dapat bersama-sama memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Bagi Nolee pula, ia merupakan usaha bersama antara agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri.

Pameran ‘From the Art Room’ akan diadakan di 22 Hale Street, No. 22 Jalan Tun Sambanthan dari jam 11 pagi hingga 6 petang sepanjang 14 dan 15 September ini.