KUALA LUMPUR – Kehangatan persaingan perlumbaan kereta berprestij, Formula Satu (F1) di Litar Sepang pada hujung minggu lepas akan tinggal sebagai memori terindah kepada para peminat sukan permotoran selepas 19 tahun penganjurannya di Malaysia.

Penganjuran terakhir Ahad lepas menyaksikan kedatangan penonton seramai 110,604 orang dalam tempoh tiga hari, sekali gus melepasi jumlah yang disasarkan iaitu lebih 102,000 penonton dan daripada jumlah itu, seramai 56,015 penonton hadir pada hari perlumbaan.

Edisi ke-19 perlumbaan berprestij itu mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada penonton asing, berbanding peminat permotoran tempatan,

“Pihak Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) menerima maklum balas yang cukup positif daripada agensi-agensi di luar negara mengenai pakej penjualan tiket yang dibuat. Namun bagi pasaran tempatan, agak kurang memberangsangkan dan seperti kebiasaannya, menunggu hingga ke saat akhir,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.

-Kosmo! Online