KUALA KANGSAR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar atas kekuatan parti dan bukan kerana kelemahan parti lawan.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan, UMNO dan BN perlu menang kerana rekod perkhidmatan yang cemerlang.

“Mungkin orang suka bahawa ada pertandingan tiga penjuru di sini dan juga di Sungai Besar, maka dengan tiga penjuru itu maka katanya Barisan Nasional lebih mudah menang.

“Jangan menang kerana kelemahan parti lawan, kita kena menang atas kekuatan diri sendiri atas rekod UMNO dan Barisan Nasional, itu yang penting,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ke Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana Labu Sayung di Kampung Kepala Bendang, Sayong pada  Ahad.

Menurut Ahmad Maslan, rekod UMNO dan BN adalah baik kerana telah banyak berjasa membangunkan kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

 

 

“Rekod kita membangunkan kawasan Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah rekod-rekod yang baik, yang menjadi kekuatan kepada kita di samping mempunyai pemimpin yang menjaga rakyat dengan baik,” ujarnya.

Mengenai calon, Ahmad Maslan, biarlah ia ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN.