New Delhi: Seorang budak lelaki berusia 13 tahun menangis air mata darah sejak tiga tahun lalu dan lebih menghairankan darah juga keluar dari telinga, mulut, kaki dan kepalanya sehingga 10 kali sehari tanpa sebarang kesan luka.

Selain darah yang keluar dari mata, darah yang keluar dari kepala dipercayai melalui saluran rambutnya manakala pada kaki dan tangan, dipercayai melalui liang roma.

Keadaan itu menyebabkan Akhilesh Raghuvanshi mudah menjadi letih dan sering sakit kepala sejak keganjllan itu bermula dengan darah keluar dari hidungnya, tiga tahun lalu.

Ibu bapanya menyangka kepanasan menyebabkan darah keluar dari hidungnya namun menyedari masalahnya lebih serius apabila darah mula keluar melalui mata dan telinganya .

Doktor juga tidak tahu punca kejadian itu yang hampir sama dengan ‘haemolacria’ iaitu air mata penghidapnya bercampur darah.

Keadaan Akhilesh itu dikenali sebagai ‘stigmata’ dan hanya segelintir di seluruh dunia mengalaminya. Stigmata diambil sempena filem ‘Stigmata’ dibintangi Patricia Arquette yang mengalami keadaan itu.

Kes Akhilesh dari Ashoknagar, Madhya Pradesh, kini dikaji pasukan perubatan di Institut Sains Perubatan Seluruh India.

“Darah keluar dari mata, tangan, kepala, telinga, hidung, hampir seluruh tubuh. Bila berdarah, badan berasa panas.

“Ia berlaku mungkin sekali, mungkin sehingga 10 kali sehari. Kadang-kadang ia berhenti dan tidak berlaku selama beberapa bulan.

“Namun, sejak 15 hari lalu, saya berdarah hampir setiap hari.

“Saya tak berasa sakit, cuma keletihan dan sakit kepala,” katanya.

Bapanya, Arun, seorang petani, kini merayu bantuan pakar dan doktor seluruh dunia bagi merawat anaknya itu.

“Doktor di India gagal mencari jawapannya dan keadaan anak saya makin teruk. Kini kencingnya juga darah.

“Saya bimbangkan keadaannya,” katanya. – DM