ALOR SETAR: Dua beradik ipar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memberi suapan berjumlah RM2,000 kepada seorang anggota polis trafik, tiga tahun lalu.

Tertuduh, M Indrani, 27, dan Lim Gait Heng, 25, meminta dibicarakan selepas kertas pendakwaan dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menawarkan wang tunai RM2,000 kepada anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, Koperal Mohd Hilmi Ismail untuk melepaskan adik beradik Gait Heng, Lim Gait Hong dan Lim Gait Kuang yang ditahan kerana kes dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1951.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Trafik Kulim, dekat sini, jam 10.15 pagi, pada 7 November 2015.

Bagi kesalahan itu, Indrani dan Gait Heng didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Syahrul Khuzaini Amiruddin manakala dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM3,000 dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh manakala 19 Mac depan sebagai tarikh sebutan dan melantik peguam – berita harian