IPOH – Seorang lelaki yang sebelum ini didakwa atas 12 pertuduhan membuat tuntutan pulang balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) palsu berjumlah RM1.1 juta dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 kesalahan sama bernilai lebih RM200,000 pada tahun lalu.

Tertuduh, Loo Peng Wah,50, didakwa secara bersama melakukan kesalahan tersebut dengan tiga lagi tertuduh iaitu Wan Mohd. Yom Azlan Noran,40 dengan enam pertuduhan, Muzaidi Ibrahim,36(enam pertuduhan), dan Mohd. Budiman Mohd. Amran,42 (empat pertuduhan)

Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membuat penyataan atau catatan palsu dalam penyata GST-03 bagi tempoh bercukai 1 Februari hingga 29 Februari 2016 berhubung cukai input bernilai lebih RM200,000.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Stesen Taiping dan Stesen Seri Manjung, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 7 Mac 2016.

Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 89(1)(b) Akta GST 2014 yang boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun cukai atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Thanganatchya manakala Peng Wah diwakili peguam Tan Sri Shafee Abdullah dan Chiang Mei Wan mewakili tiga lagi tertuduh.

Murtazadi membenarkan ikat jamin sebanyak RM300,000 terhadap Peng Wah, Wan Mohd. Yom Azlan dan Muzaidi masing-masing RM120,000 manakala Mohd. Budiman sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin.

Murtazadi turut memerintahkan syarat tambahan terhadap kesemua tertuduh yang perlu melapor diri ke bahagian penguatkuasaan JKDM, Ipoh pada minggu pertama setiap bulan dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh 19 Januari 2018 untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – K! ONLINE