IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun mengalirkan air mata melihat bapanya yang juga penagih dadah ditahan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Jelapang di sini, semalam.

Lebih menyayat hati, kanak-kanak berkenaan dibawa bapanya untuk mendapatkan bekalan dadah dalam keadaan hujan sebelum ditahan bersama 131 penagih lain dalam Operasi Bersepadu pihak AADK Perak bermula tengah hari semalam hingga pagi ini.

Pengarah AADK Perak, Khairul Anwar Ahmad berkata, kanak-kanak terbabit tidak meraung tetapi hanya mendiamkan diri sambil air matanya mengalir seolah-olah memahami bapanya yang bekerja kilang ditahan kerana melakukan kesalahan.

“Kami kemudian menghubungi ibu kepada kanak-kanak terbabit memaklumkan suaminya ditahan bersama anak mereka dan meminta dia bertemu kami di salah sebuah kedai di Jelapang bagi mengambil anak mereka.

“Wanita berkenaan memaklumkan dia sedang bekerja di kilang dan akan mengambil anak mereka dan apabila sampai dia menangis bersama anaknya kerana tidak menyangka suaminya tergamak membawa anak mereka membeli dadah,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di Pejabat AADK Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, lelaki berusia 36 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kali pertama ditahan AADK atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata, seramai 186 individu diperiksa oleh anggota AADK dan 131 daripada mereka ditahan kerana didapati positif dadah dalam operasi berkenaan – sinar