BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki kerana mengamuk dan memukul bapanya berusia 72 tahun menggunakan sebatang kayu dalam kejadian di rumah mereka di Kubang Semang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berumur 28 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada bapanya berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 3.30 petang.

“Lelaki itu ditahan sejam selepas kejadian dia tiba-tiba mengamuk dan memukul bapanya di hadapan rumah mereka. Suspek dipercayai turut menumbuk mangsa hingga rebah.

“Selepas mangsa terjatuh akibat ditumbuk anaknya, suspek bertindak duduk di atas bapanya sebelum mencapai sebatang kayu dan memukul warga emas itu beberapa kali,” katanya di sini hari ini.

Katanya kejadian itu disedari seorang lagi anak mangsa yang berada di dalam rumah yang bertindak menyelamatkan bapanya sebelum warga emas berkenaan membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.
Nik Ros Azhan berkata anak ke-10 daripada 11 beradik dan tidak bekerja itu ditahan tidak jauh dari rumahnya dan polis turut merampas kayu sepanjang 60 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul bapanya.

Katanya ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah dan dia dipercayai bertindak sedemikian kerana berada di bawah pengaruh dadah.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki kiri mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran rumahnya” katanya.

Beliau berkata suspek yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah kini direman untuk membantu siasatan.

— BERNAMA