KLUANG: Hanya kerana tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah oleh isterinya, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an mengamuk sambil memegang sebilah parang serta sebutir bom mortar.

Dalam kejadian di Taman Kluang Indah di sini, kira-kira jam 7.45 pagi tadi, suspek mengamuk di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata pihaknya bertindak melalui maklumat yang disampaikan isteri suspek dan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memujuk suspek, lelaki itu tidak mahu memberikan kerjasama, malah turut mengugut untuk menyerang polis dengan menggunakan senjata yang ada di kedua-dua belah tangannya itu.

“Memandangkan suspek masih berdegil untuk menyerah diri, kita mendapatkan bantuan daripada Unit Tentera Mekanikal Rifle Persenjataan (AMRA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk menggunakan pistol Taser.

“Bagaimanapun, ketika suspek kelihatan khayal semasa rundingan dibuat, polis membuat serbuan ke dalam garaj dan membuat tangkapan selepas kira-kira dua jam 45 minit memujuk suspek,” katanya ketika sidang media di Bilik Wawasan IPD Kluang di sini, hari ini.

Mohd Abduh berkata, siasatan awal mendapati kejadian amuk itu berpunca daripada keengganan isteri suspek yang berusia 39 tahun membenarkannya bertemu dengan tiga anak berusia enam bulan, 18 tahun dan 19 tahun.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui sebutir bom mortar yang berkarat, dua bilah parang dan dua bilah pisau serta satu beg sandang berwarna hitam.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau serta satu kes memukul isteri serta anak-anaknya pada 6 September lalu yang mana kes itu masih dalam siasatan mengikut Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga 2017 selain dikehendaki polis bersabit kes berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, suspek yang juga bekas anggota penguatkuasa, diberhentikan kerja pada 2014.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tambah Mohd Abduh, siasatan mendapati bom mortar yang dipegang suspek digunakan untuk latihan ketenteraan dan pihaknya sedang menyiasat bagaimana lelaki itu mendapatkan bom terbabit.

“Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor sedang mengenal pasti bom mortar itu sama ada masih aktif dan mengenal pasti pemilik sebenar bom berkenaan,” katanya – berita harian