IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerangkan mengapa Gerakan BERSIH berkeras mahu membuat demonstrasi di atas jalan raya.

Menurut Dr Zambry, itu sebenarnya adalah psikologi bagi memberi persepsi bahawa demontrasi itu mendapat sambutan.

Beliau memberi contoh, ketika menganjurkan program jalan kaki di Pulau Pangkor baru-baru ini, seramai 2,000 warga pulau itu telah mengambil bahagian.

Katanya, walaupun 2,000 orang peserta, tetapi oleh kerana mereka berjalan di atas jalan raya, itu menyebabkan `limpahan’ manusia sepanjang dua kilometer.

“Itu sebab mereka (BERSIH) mahu buat di jalan raya, tidak di dalam stadium, untuk menggambarkan seolah-olah ramai orang,” katanya ketika berucap merasmikan Konvesyen MyPPP Negeri Perak 2016 di Dewan YRSK di Buntong, pada Ahad.

Hadir sama Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas dan Pengerusi MyPPP Perak, Ong Chee Keng.

Dr Zambry berkata, pemimpin BN tidak akan melakukan apa yang dilakukan oleh pembangkang demi untuk menjaga keamanan negara dan keselamatan rakyat.
Beliau memberi contoh, sekiranya Presiden MyPPP ingin berbuat demikian, sudah tentu ahli-ahli parti itu yang melebihi 600,000 akan turun, begitulah juga jika beliau sendiri mengajak.

 


Bagaimanapun, jelas beliau, mereka tidak akan berbuat demikian kerana sudah pasti ia akan mewujudkan tindak balas, yang akhirnya akan merugikan semua pihak.

“Apabila ada action (tindakan), sudah tentu ada reaction (tindak balas,” katanya sambil merujuk kepada kumpulan kuning dan merah.

Beliau sekali lagi mengulangi penafian penglibatan UMNO Perak di dalam kumpulan merah yang didakwa oleh pihak pembangkang.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi BN Perak berkata, prinsip kompromi yang diamalkan di dalam Barisan Nasional (BN) sejak dahulu telah berjaya membentuk pentadbiran negara walaupun mempunyai komponen parti dari pelbagai latar belakang.

Menurut berliau, cara itu cuba diikuti oleh barisan pembangkang tetapi mereka gagal.

“Mereka cuba tidur sebantal tetapi malangnya mimpi mereka lain-lain, mereka pernah cuba tetapi gagal dan mereka terus mencuba,”

Dr Zambry memuji sikap pemimpin MyPPP yang sentiasa memberi sokongan padu kepada segala aktiviti yang dijalankan, tanpa mengharapkan sebarang balasan, sama ada dalam bentuk kerusi pilihan raya, mahupun peruntukan.