LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad terus dibidas kerana didakwa tidak berani menyahut cabaran berdebat mengenai punca kekayaan luar biasa dimiliki anaknya yang dikatakan mencecah berbilion ringgit.

Mengulangi cabarannya, bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim, berkata Dr Mahathir sepatutnya berani memberi pencerahan berkaitan isu itu.

“Saya agak hairan kenapa Dr Mahathir masih membisu dan gagal menyahut cabaran saya untuk berdebat atas tajuk ‘Punca Kekayaan Luar Biasa Anak-Anak Tun Mahathir’.

“Ini medan terbaik beliau memberitahu rakyat bagaimana anak-anaknya boleh menjadi kaya raya dalam masa singkat, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zamil yang kini berada di Pulau Langkawi, sedia berdebat dengan bekas pemimpin nombor satu negara itu pada bila-bila masa.

“Kalau beliau berasa saya tidak setaraf dengannya untuk berdebat, lambat-laun beliau kena pada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng atau Rafizi Ramli berkaitan persoalan itu.

“Dr Mahathir tidak mungkin jadi Perdana Menteri jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sebaliknya Presiden parti itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang layak dilantik ke jawatan itu,” katanya – berita harian