IPOH: Seorang pembantu kewangan di sebuah kilang trauma selepas kereta PERODUA Axia dipandunya dihempap pokok ketika melalui Jalan Sultan Azlan Shah di sini, petang tadi.

Ketika kejadian jam 6 30 petang, mangsa Zilfiah Husaini, 34, sedang memandu sendirian untuk pulang ke rumah dari tempat kerja.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan trafik agak perlahan kerana terdapat lampu isyarat di laluan itu selain angin pada ketika itu bertiup kuat bersama ribut petir.

“Apabila tiba di tempat kejadian, saya merasa ada benda jatuh di atas bumbung dan selepas itu kereta tidak dapat bergerak lagi, saya menjadi sangat takut ketika itu sehingga menggigil,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Zilfiah berkata, akibat terlalu panik dia langsung tidak berani keluar daripada kenderaan yang sudah dihempap pokok.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Saya tergamam dan takut untuk keluar daripada kereta kerana risau masih ada lagi pokok yang akan tumbang atau dahan pokok patah yang akan menimpa.

“Saya menjadi hilang punca dan hanya berdiam diri di dalam kereta sehingga pintu diketuk dan orang ramai yang kemudian membantu saya keluar,” katanya.

Katanya, dalam keadaan panik ketika itu dia cuba menghubungi suaminya, Mohd izwanni Sariman, 34, tetapi gagal.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, R Mathavan, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.37 petang.

“Anggota yang tiba di lokasi kejadian melihat sebatang pokok tumbang merintangi jalan dan turut menghempap sebuah kereta.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kenderaan yang dipandu pecah pada bahagian cermin dan remuk pada bahagian bumbung,” katanya.

Beliau berkata, trafik sesak sejauh dua kilometer dan anggota mengambil masa lebih 20 minit bagi memotong pokok yang tumbang merintangi jalan.