PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pemilihan tarikh mengundi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei yang juga hari bekerja bukan perkara baharu kerana rekod PRU sebelum ini menunjukkan ia sudah beberapa kali diadakan pada hari bekerja.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata pengundian pada PRU pertama (1959), PRU Ke-6 (1982), PRU Ke-9 (1995) dan PRU Ke-10 (1999) juga diadakan pada hari bekerja.

“SPR menyambut baik pengumuman kerajaan bahawa 9 Mei ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am tambahan seluruh negara untuk membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggung jawab mereka sebagai pengundi. Maka, dengan pengumuman cuti umum ini, ia sewajarnya tidak dijadikan isu.

“Malah, pemakluman awal berkenaan tarikh PRU-14 ini juga membolehkan pengundi mempunyai masa secukupnya merancang perjalanan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, majikan yang masih meneruskan operasi mereka pada hari mengundi perlu memberi tempoh munasabah kepada pengundi yang bekerja untuk keluar mengundi.

“Subseksyen 25(1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan setiap majikan pada hari mengundi perlu membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi setiap pemilih yang bekerja untuk pergi mengundi.

“Majikan tidak boleh membuat apa-apa potongan gaji atau saraan pekerja mereka atau mengenakan ke atasnya atau menuntut apa-apa penalti jika pekerja tidak bekerja dalam tempoh mengundi itu,” katanya.

Mohd Hashim berkata, majikan yang tidak membenarkan pekerja menjadi pemilih untuk keluar mengundi boleh didenda RM5,000 atau setahun penjara seperti diperuntukkan mengikut Subsekyen 25(3), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Jadi, SPR menyeru dan menggalakkan majikan menggunakan budi bicara mereka bagi memberikan cuti khas atau pelepasan sewajarnya kepada pekerja mereka yang dilantik sebagai petugas PRU-14,” katanya – berita harian