SUBANG JAYA: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di tempat duduk sebuah kereta berkunci di Kilometer 35.2, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, pihak bomba dipanggil untuk membuka pintu kereta Proton Pesona berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang, berkata pihaknya mengumpil pintu kenderaan untuk membukanya dan pemeriksaan mendapati lelaki berusia 58 tahun itu sudah meninggal dunia.

“Kami menerima panggilan khidmat khas membuka pintu kereta terkunci pada jam 6.12 petang sebelum anggota dan pegawai dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dapati seorang lelaki berusia 58 tahun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggota Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) yang berada di lokasi memberi bantuan awal pernafasan sehingga ambulans dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tiba.

“Pegawai perubatan PPUM mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan,” katanya – berita harian