BINTAGOR: Jeritan kuat meminta pertolongan yang didengari penduduk awal pagi semalam adalah petanda kehilangan seorang lelaki warga emas di Sungai Nanga Sayong, di sini.

Anjan Nyua, 66, kini hilang dipercayai dibawa arus sungai berkenaan selepas penduduk rumah panjang yang menetap di kawasan berhampiran sungai mendengar jeritan mangsa jam 1 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis pra gawai di sebuah sekolah rendah di Nanga Entabai.

Menurutnya, beberapa penduduk rumah panjang Rumah Minggat yang terletak berhampiran sungai berkenaan terjaga selepas terdengar suara seseorang meminta pertolongan.

“Sebaik mendengar jeritan, beberapa penduduk bergegas ke tebing sungai untuk meninjau sungai berkenaan namun hanya menemui perahu berenjin milik mangsa dalam keadaan pecah pada struktur utamanya hanyut.

“Anak mangsa mengesahkan perahu berenjin yang ditemui adalah kepunyaan bapanya selepas ahli keluarga dimaklumkan mengenai kehilangan warga emas itu,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Nicholas berkata, susulan laporan kehilangan yang dibuat keluarga mangsa, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak semalam namun gagal menemui mangsa.

Katanya, operasi tetap diteruskan dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di lokasi mangsa dipercayai terjatuh yang juga terdapat pusaran air.

“Radius pencarian diperluaskan sehingga tiga kilometer ke hulu Sungai Nanga Jemak dan dua kilometer ke hilir sungai Nanga Entabai namun tiada sebarang petunjuk ditemui.

“Lokasi mangsa disyaki terjatuh di kawasan lubuk sungai di Nanga Sayong namun lokasi sebenarnya tidak dikenal pasti menyebabkan kaedah selaman tidak dapat dilakukan. Operasi SAR turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung,” katanya – berita harian