JAKARTA: Menteri dalam Kabinet baharu yang didapati terbabit dengan rasuah dan penyelewengan akan digugurkan serta-merta, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Namun jika hari ini mereka terbabit (rasuah) kita akan ambil tindakan menyingkirkan mereka,” katanya dalam sidang media kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan rasmi dua harinya ke Indonesia, hari ini.

Perdana Menteri mengulas kriteria pemilihan anggota Kabinet penuh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dijadual mengangkat sumpah 2 Julai ini.

Ditanya mengenai peletakan jawatan ketua dan pengurusan kanan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Dr Mahathir berkata ramai di antara mereka yang dilantik kerajaan terdahulu tidak mempunyai kebolehan.

“Secara umumnya kita dapati mereka yang dipilih bukan kerana berkebolehan dalam pengurusan kewangan dan perniagaan tapi kerana mereka penyokong parti.

“Akhirnya projek yang dibuat dan pengurusan kewangan mereka gagal.

“Mereka ini adalah dalam kalangan 17,000 lantikan politik dalam kerajaan sebelum ini, termasuk duta tidak mempunyai kebolehan dan pengalaman,” katanya.

Sehubungan itu, katanya di bawah kerajaan baharu hanya mereka yang profesional akan mengetuai pengurusan GLC.Dr Mahathir berkata, ketua GLC juga tidak akan lagi diberikan gaji tinggi, sebaliknya diberikan bonus jika menunjukkan prestasi yang baik – berita harian