IPOH 2 Mei – Kementerian Sumber Manusia akan membawa ke Kabinet cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar kakitangan awam yang berhadapan dengan kes di mahkamah dirujuk terus ke Mahkamah Perusahaan.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, cadangan itu dapat meringankan beban pekerja berikutan kos guaman untuk kes dibawa ke Mahkamah Perusahaan lebih rendah berbanding di Mahkamah Tinggi.

Malah katanya, penyelesaian kes di Mahkamah Perusahaan juga dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat.

“Kakitangan awam atau badan-badan berkanun yang diambil tindakan, kes akan dirujuk ke Mahkamah Tinggi. Kos ini sangat tinggi dan ramai di antara mereka tidak mendapat nasihat atau berpeluang membiayai kes ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Saya telah menerima surat daripada CUEPACS Perak di mana memohon agar perkara tersebut dirujuk terus ke Mahkamah Perusahaan kerana melibatkan kos yang rendah dan diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Ini adalah cadangan yang baik tetapi saya tidak boleh membuat keputusan serta merta sebaliknya perlu mendapat persetujuan Perdana Menteri dan ahli kabinet lain,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2019 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri, A.Sivanesan; Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman.-UTUSAN ONLINE