IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggunakan pelbagai bahasa dan loghat daerah di negeri ini ketika membentangkan bajet terakhir bagi penggal kelima Dewan Negeri Perak yang memulakan mesyuarat ketiganya pada hari ini.

Gaya beliau yang mencuri perhatian khalayak apabila terdengar antara bahasa dan loghat yang diucapkan oleh Dr Zambry ialah Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil serta loghat Parit, Rawa dan Banjar.

Ada ketikanya, semasa beliau memetik ucapan dalam Bahasa Cina, beliau disindir oleh wakil pembangkang yang merasakan sebutannya tidak fasih, namun secara gentleman, Menteri Besar berkata, dia berbuat demikian atas dasar menghormati semua kaum di negeri ini.

Katanya, tindakan itu adalah menggambarkan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Beliau menempelak, ia bukannya menggunakan pendekatan seperti sesetengah individu yang suka memaki hamun dan mencarut dalam ceramah-ceramah dan perbualannya.

“Bak kata Confucius orang yang melakukan kesilapan dan tidak membetulkannya, maka sebenarnya akan mengulangi kesilapan demi kesilapan,” katanya.