PARIT – Sekitar 700 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yaakub Bota, di sini, bergabung tenaga memasak secara bergotong royong bagi meraikan kehadiran Menteri Besar Perak yang baharu, Ahmad Faizal Azumu.

 

Kesemua pelajar itu mula bergotong royong seawal 8.30 pagi bagi menyediakan lapan juadah istimewa Aidilfitri bagi memastikan juadah tersebut boleh dijamu kepada tetamu dalam majlis yang bermula 3 petang.

Pengetua SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub, Bainah Ab Dolah berkata, idea meraikan Menteri Besar itu datangnya daripada pelajar sendiri yang mahu mendapat peluang bertemu pemimpin negeri itu secara dekat.

“Mereka yang memberi idea untuk menjemput Menteri Besar Perak baharu kerana mereka mahu tengok sendiri Ahmad Faizal yang merupakan idola mereka, masih muda dan mampu menjadi Menteri Besar.

“Semua makanan ini disediakan oleh pelajar-pelajar sendiri dengan bantuan guru-guru sekolah, kesemua mereka dibahagikan kepada lapan pasukan beruniform dan masing-masing menyediakan makanan istimewa masing-masing,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Terharu dengan kesungguhan pelajar-pelajar itu, Ahmad Faizal yang sepatutnya dijadualkan menghadiri majlis itu selama satu jam telah meluangkan masa dua jam setengah sehingga 6 petang.

Pelajar yang teruja dengan kesempatan itu tidak putus-putus cuba merakam momen istimewa itu dengan berswafoto bersama Menteri Besar.

Ahmad Faizal merakamkan penghargaan kepada pelajar-pelajar tersebut yang bersusah payah membuat persiapan bagi meraikan kedatangannya ke sekolah itu.

Bagi menyatakan penghargaan itu, Ahmad Faizal tidak teragak-agak membantu pelajar dan kakitangan sekolah mengemas dewan dan menyimpan kerusi  sebelum beliau meninggalkan majlis pada petang itu.

 

Seorang pelajar ditemui, Muhammad Fadzil Harun, 16, berkata, dia amat teruja dengan kehadiran Menteri Besar yang dianggapnya sebagai pembakar semangat untuk berjaya dalam hidup.

“Memang seronok dapat tengok Menteri Besar baharu, masih muda dan amat-amat mesra dengan pelajar, dia tegur kami macam kawan sahaja.

“Memang suka dia, tadi saya sempat berswafoto dengan dia,” ujarnya tersenyum gembira.

1/11