MANJUNG – Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi jaminan bahawa beliau akan memikul tanggungjawab memimpin negeri ini sebagai Menteri Besar selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) 14 nanti.

Menurutnya pencalonannya untuk bertanding di Parlimen Lumut di samping mempertahankan kerusi DUN Pangkor bukanlah bermakna akan berlaku perlantikan Menteri Besar yang baru.

Tegasnya beliau masih berada di Perak untuk bersama-sama rakyat membangunkan negeri ini sepertimana yang telah dirancang.

“Mungkin ada yang beranggapan bila saya dicalonkan untuk bertanding di Parlimen, maka lepas ini mesti Menteri Besar orang lain, jangan bimbang saya masih lagi bersama anda semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira kira 1,000 hadirin di Program Ramah Mesra Kepimpinan Komuniti Daerah Manjung di Dewan EMV, Seri Manjung.

Hadir sama, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim, serta Datin Seri Saripah Zulkifli.

Jelasnya, jika ditakdirkan beliau memenangi kerusi Parlimen Lumut bagi Pilihan Raya Umum ke-14, kemenangan itu bukan bersifat peribadi tetapi sebagai penggerak untuk beliau memberi sumbangan di peringkat Pusat ketika Dewan Rakyat bersidang.

“Saya masih bersama tuan-tuan dan puan-puan…jika kemenangan berpihak kepada BN di Perak maka kita akan teruskan perancangan dan dilaksanakan sebaiknya.

“Kalau ditakdirkan saya terpilih untuk mewakili di peringkat Parlimen bermakna tugas saya di waktu itu ialah tanggungjawab yang bukan hanya tertumpu kepada satu tempat,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan akan terus melaksanakan tugas menjaga kepentingan pelbagai kaum dan semua lapisan masyarakat.

“Saya kena melaksanakan tugas termasuk kepada semua masyarakat, baik Melayu, Cina, India dan lain-Lain keturunan,”katanya.