IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir hari ini menerima kunjungan hormat dari 43 delegasi Dewan Perniagaan Malaysia Hong Kong & Macau (MCCHKM) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Beliau mengadakan pertemuan lebih satu jam dengan semua anggota perwakilan dewan perniagaan itu yang diketuai oleh Gan Khai Choon.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, dalam perjumpaan itu kerajaan negeri menerangkan situasi dan prospek pelaburan dalam pelbagai sektor.

“Ahli delegasi terdiri daripada individu yang berlatarbelakangkan perbankan, pelaburan, pelancongan, wakil pelabur-pelabur besar dan sebagainya di Hong Kong dan Macau, jadi kita ambil peluang ini terangkan kepada mereka mengenai peluang-peluang yang ada di Perak.

“Kita telah terangkan secara dasar mengenai peluang pelaburan dalam bidang mineral, infrastruktur, sektor industri, pelancongan dan beberapa sektor lagi dengan harapan mereka akan membawa pelaburan masuk ke negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat berkenaan.

Mohamad Zahir memberitahu, daripada 43 delegasi yang hadir, 20 daripadanya merupakan rakyat Malaysia yang telah tinggal lebih 20 tahun di Hong Kong dan Macau.

“Bagi kita, ini merupakan satu kelebihan kerana mereka benar-benar faham situasi di Malaysia serta Perak dan ianya akan memudahkan mereka untuk memberi penerangan kepada bakal-bakal pelabur di Hong Kong dan Macau kelak.

“Pada tahun ini, MCCHKM memilih Perak sebagai destinasi untuk dikunjungi selama tiga hari, pada tahun-tahun sebelumnya mereka telah pergi ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu,” ujarnya.