IPOH- Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan pelantikan tujuh tokoh sebagai ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak (SEAC).

Menurutnya, pelantikan itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam dengan bertujuan membantu menggalakkan pelaburan ke negeri ini serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Kerajaan Pakatan Harapan Perak amat mengalu-alukan sumbangsaran dan pandangan semua ahli majlis penasihat ini yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Datuk Seri Anuar Zaini.

“Kerajaan negeri menaruh sepenuh keyakinan yang majlis penasihat ini akan memainkan peranan yang signifikan dalam membantu merencana hala tuju baru ekonomi negeri Perak ke arah pertumbuhan yang mampan.

“Selari dengan perubahan semasa dan masa depan bertunjangkan kepada aspirasi merakyatkan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Antara tokoh yang dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak ialah, Pengerusi: Yang Berbahagia Datuk Seri Anuar Zaini yang juga mantan Pengerusi Agensi Berita Nasional (BERNAMA).

Ahli-ahlinya terdiri daripada Yang Berbahagia Tan Sri Datuk (Dr.) Haji Mustapha Kamal Bin Haji Abu Bakar, Pengasas Utama MK Land Holdings Berhad, Yang Berbahagia Tan Sri Lee Ooi Hian, Pengarah Urusan KL Kepong Berhad, Yang Berbahagia Datuk Seri Shamsudin Mat Dubi, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Yang Berbahagia Datuk Dr J. Jegathesan, mantan Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Yang Berhormat Nga Kor Ming, Timbalan Speaker Dewan Rakyat serta Koon Yew Yin, Pengasas bersama IJM Berhad, Gamuda Berhad, Mudajaya Berhad dan mantan Setiausaha Master Builder Association Malaysia.