KUCHING : Pemimpin DAP Ngeh Koo Ham terus dikritik hari ini berhubung kenyataan beliau di Dewan Rakyat bahawa Sabah dan Sarawak kelihatan “tidak bersyukur” mengenai jumlah wang yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 apabila seorang menteri Sarawak menasihati beliau supaya menggilap pengetahuan sejarahnya.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sabah dan Sarawak berhak untuk berasa marah kerana hak mereka hanya berkurang 56 tahun selepas pembentukan Malaysia.

“Saya cadangkan beliau membuat lebih banyak kajian mengenai pembentukan Malaysia, isu yang dibincangkan dan dipersetujui oleh penanda tangan Perjanjian Malaysia 1963.

“Selain itu perlu juga dikaji sumbangan besar dua negeri tersebut kepada ekonomi negara hasil sumber galian mereka yang kaya, sebaliknya mendapat royalti kecil 5% sebagai pulangan,” katanya

“Perak tidak akan muncul seperti negeri Perak hari ini tanpa sumbangan besar dua negeri Borneo itu kepada hasil negara.”

Ngeh adalah ahli Parlimen Bruas di Perak.

Ahli Parlimen Petra Jaya Fadillah Yusof juga membidas Ngeh dengan berkata, komen beliau menunjukkan pemimpin DAP “tidak tahu apa-apa” dan putus hubungan dengan keperluan dan sentimen rakyat Sarawak.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini, Putrajaya mengumumkan bahawa Sabah dan Sarawak masing-masing akan memperoleh sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion dalam perbelanjaan pembangunan tahun depan, iaitu kira-kira 17 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan RM56 bilion.

Karim berkata, walaupun Sabah dan Sarawak mendapat peruntukan lebih besar berbanding negeri lain, namun perbandingan sedemikian tidak adil.

“Dari segi keluasan tanah negeri Borneo adalah beberapa kali lebih besar daripada Perak,” katanya.

Malah katanya, sesetengah kawasan Parlimen di Sarawak adalah lebih besar daripada keseluruhan negeri Perak.

“Jadi lebih baik Ngeh tidak membuat perbandingan begitu,” katanya.