LELAKI yang menyamar sebagai anggota polis dan mengambil wang tunai RM60 daripada seorang pelajar ditahan dalam kejadian di Jalan Kuala Krai di Tunjong, Kota Bharu, hari ini.

Suspek berusia 35 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di rumahnya di Kampung Binjai, Ketereh, pada 2.45 pagi.

Sebelum kejadian, mangsa berusia 13 tahun menunggang motosikal bersama rakannya melalui jalan itu pada 10.55 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata ketika itu suspek yang menunggang motosikal Honda EX5 datang dari arah belakang menyuruh mangsa berhenti di tepi jalan.

Katanya, mangsa yang ketakutan kemudian berhenti dan suspek mencabut kunci motosikal mangsa sambil memperkenalkan diri sebagai polis.

“Suspek turut menyeluk poket seluar mangsa dan mengambil wang RM60 dan kemudian menyerahkan semula kunci sebelum beredar dari situ.

“Mangsa balik ke rumahnya di Kampung Mulong, Kota Bharu dan memberitahu kejadian itu kepada ayahnya. Berikutan itu keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Nilam Puri pada 12.25 tengah malam,” katanya.

Ismail berkata, wang tunai disamun itu adalah milik mangsa yang diberikan ayahnya untuk perbelanjaan harian, manakala rakannya tiada mengalami kerugian.

Beliau berkata, hasil maklumat, suspek akhirnya ditahan dan polis merampas wang tunai berbaki RM23 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek didapati positif dadah jenis Methaphetamine serta mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau dan kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan – berita harian