SAYA terpaksa memukul rakan menggunakan besi kerana menipu dan cuba lari setiap kali dituntut janji membayar hutang RM2,000.

“Lebih menyakitkan hati, dia seolah-olah memperkecilkan bantuan diberikan, kesabaran saya tercabar hingga mengambil keputusan memukul dia dan rakannya menggunakan kayu penyapu dan besi sehingga menyebabkan dia parah,” kata Alif, 21 bukan nama sebenar.

Menurutnya, hanya selepas beberapa minit kejadian berkenaan, dia ditahan polis dan menjalani tahanan reman selama tiga bulan di penjara Penor, dan mahkamah menjatuhkan hukuman melakukan kerja khidmat masyarakat dibawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang selama 480 jam.

Katanya, kejadian pada tahun lalu itu memberi keinsafan kepadanya yang bertindak mengikut perasaan tanpa berfikir panjang hingga menyebabkan dia meringkuk dalam penjara dan dipandang rendah oleh masyarakat.

“Nasihat saya kepada golongan remaja supaya tidak mudah bertindak mengikut perasaan dalam apa juga kes kerana akibatnya buruk pada diri sendiri dan keluarga,” katanya, ketika ditemui di Kuantan, hari ini.

Dia berkata demikian pada kursus teknikal asas penyelenggaraan kenderaan (servis) program kerjaya Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang disempurnakan Pengarah JKM Pahang Zulkhari Zainol Abidin di Kolej Komuniti Pekan, di sini.

Seramai 25 belia yang menjalani PKM mengikuti program dengan kerjasama Kolej Komuniti Pekan, mereka diberi latihan selama dua hari bertujuan memberi kemahiran seterusnya berpeluang membina kerjaya.

Sementara itu, Halim, 18 bukan nama sebenar pula berkata, disebabkan terlalu mengikut rakan, menyebabkan dia terbabit dengan penagihan pil kuda sejak empat tahun lalu ketika belajar di Tingkatan Dua.

Menurut anak keempat daripada lapan beradik itu, harga pil kuda yang murah antara RM12 hingga RM15 sebiji selain mudah didapati turut menyebabkannya terjerumus dengan penagihan pil kuda pada usia muda dan ditahan polis tahun lalu serta dihukum melakukan kerja khidmat masyarakat selama 240 jam.

“Saya kini bekerja di bengkel kenderaan bagi meneruskan minat dalam bidang berkenaan dan nasihat saya kepada remaja supaya tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya sudah menjalani hukuman selama 219 jam.

Sementara Zulkhari Zainol berkata, pihaknya sentiasa berusaha memberi kemahiran kepada remaja yang menjalani hukuman PKM dalam memastikan mereka dapat membina kerjaya yang diminati.

“Saya yakin sokongan JKM dapat membuka laluan kepada golongan berkenaan berjaya membina kehidupan selepas melakukan kesilapan, sebelum ini terdapat beberapa remaja berjaya membuka perniagaan dan bekerja dalam sektor awam serta swasta,” katanya – hmetro