Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KUALA KANGSAR: Pengguna Lebuhraya Utara Selatan terpaksa menunggu hampir dua jam dalam kesesakan jalanraya berikutan insiden sebuah kereta terbakar di Terowong Menora pada malam Jumaat.

Malah, insiden di Kilometer 260 arah utara itu turut menyebabkan kesesakan sepanjang lima kilometer dan rata-rata pengguna jalan raya tersangkut selama berjam lamanya akibat kejadian berkenaan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Mohd Khamis Harun, mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berlakunya kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz di pertengahan terowong.

“Kebakaran itu menyebabkan kenderaan lain tidak boleh memasuk terowong dah semuanya tersekat, tidak bergerak sejauh lima kilometer.

” Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati anggota PLUS telah berjaya mengawal kebakaran menggunakan aliran hos dalam terowong.

“Anggota terpaksa berlari masuk ke dalam terowong kerana keadaan jalan yang sangat sesak,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Mohd Khamis menjelaskan tiada mangsa yang cedera dan dua lelaki yang berada di dalam kereta itu selamat selepas berjaya keluar apabila melihat bahagian hadapan keretanya berasap.

“Apabila mangsa memberhentikan keretanya, api terus marak membakar kereta tersebut. Mujur kedua-dua lelaki itu cepat keluar dari kereta.

” Operasi tamat sekitar jam 10.01 malam selepas api dipadamkan sepenuhnya, ” ujarnya.