Oleh Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM50,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Pasir Pinji, di sini pada lewat malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata rampasan itu melibatkan sebanyak 1,913 bungkusan dan kotak mercun serta bunga api yang ditemui di dalam rumah tersebut.

Jelasnya,dalam serbuan itu seorang peniaga berusia 54 tahun yang merupakan tuan rumah turut ditahan bagi membantu siasatan.

mercun_rampas 2“Hasil daripada maklumat risikan,pihak polis telah melakukan serbuan tersebut dan menjumpai kesemua mercun dan bunga api pelbagai jenis ini di sekitar ruang tamu, dua bilik tidur serta bahagian dapur.

“Kami percaya bahawa kesemua mercun ini baru sahaja diperoleh untuk kegunaan Tahun Baru Cina dan rampasan dianggarkan sekitar RM50,000,”katanya ketika dihubungi Astro Awani pada pagi Khamis.

Jelasnya, serbuan yang dilakukan sekitar 11 malam itu mengesyaki terdapat orang tengah bagi mendapatkan sumber bunga api dan mercun itu untuk pasaran di Perak.

“Siasatan lanjut masih diteruskan buat masa ini dan kes disiasat di bawah Akta Letupan 1957,”katanya lagi.