KUALA LUMPUR: Bagi memastikan isu kebersihan dan kemudahan awam diutamakan, Mercy Malaysia memulakan projek membina 150 unit tandas kekal khusus untuk kemudahan mangsa gempa bumi di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Usaha membina tandas berhampiran kem penempatan sementara di Pasar Sibalaya Utara, Palu, dilakukan Mercy Malaysia bermula semalam.

Langkah itu bagi mengekang penularan wabak penyakit berjangkit selain membantu seramai mungkin mangsa mendapat kemudahan tandas selesa.

Ketua pasukan misi Mercy Malaysia ke Palu, Norazam Abu Samah, berkata pihaknya turut membina 50 tempat mandi berhampiran tandas dibina di lima lokasi termasuklah di Palu, Donggala dan Sigi.

Menurutnya, tandas dan tempat mandi bersih adalah keperluan yang sangat mendesak terutama bagi mangsa bencana gempa dan likuifaksi (lumpur bergerak) kerana mereka kehilangan rumah dan tapak rumah asal mereka.

“Kehidupan di kem pelarian bencana di sini, sangat daif dan dikhuatiri kesihatan mereka akan terjejas jika isu kebersihan tidak dititik beratkan.

“Antara cabaran utama buat masa ini adalah data mangsa bencana di Sulawesi Tengah tidak lengkap. Ini menyebabkan kami tidak dapat maklumat dan lokasi mangsa berada,” katanya.

Norazam berkata, Mercy Malaysia membelanjakan lebih RM150,000 bagi membina tempat mandi dan tandas kekal itu yang mampu disiapkan dalam tempoh segera.

“Wang bagi membina tandas dan tempat mandi ini diperoleh Mercy Malaysia hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap derita dialami mangsa gempa bumi di Palu.

“Kami akan memastikan bantuan terbaik diberikan kepada mangsa termasuk dari segi perubatan dan kemudahan penginapan selesa,” katanya.

Seramai 13 sukarelawan dan sembilan doktor mengikuti misi Mercy Malaysia ke Palu sejak bencana gempa bumi dan tsunami melanda 28 September lalu.

Selain rawatan kesihatan, Mercy Malaysia turut menyumbangkan kit kebersihan dan khemah kepada ratusan mangsa yang kehilangan tempat tinggal susulan bencana yang berlaku.