IPOH – Wakil rakyat pembangkang seharusnya sedar mereka sebenarnya gagal berfungsi dengan baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, tindakan calon DAP, Dr Abdul Aziz Bari menuduh kerajaan BN tidak mempedulikan kawasan pembangkang hanyalah mahu menutup kelemahan parti sendiri.

Menurutnya, sebagai calon baharu di Perak, Abdul Aziz sepatutnya bertanyakan rakan-rakan dalam partinya apa yang telah dilakukan di kawasan yang dimenangi sebelum ini.

“Mereka sebenarnya tidak bekerja pun malah susah nak cari di kawasan. Jadi bila rakyat marah sebab tak dapat nak mengadu masalah, mereka carilah alasan untuk tuding jari.

 

“Berbanding wakil rakyat BN, kita memang sentiasa ada di kawasan sebab bila rakyat nak jumpa senang dan masalah pun dapat selesai. Bukan macam pembangkang yang lari ke kawasan lain bila rakyat dah marah,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Aziz yang menyalahkan kerajaan BN Perak sengaja mengabaikan kawasan pembangkang.

Saarani berkata, tindakan memburuk-burukkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai keterlaluan kerana kerajaan tidak pun menganaktirikan mana-mana kawasan pembangkang.

“Sebenarnya tidak ada isu pun, ia cuma perkara remeh yang sengaja dibesar-besarkan oleh orang Selangor yang bertanding di Perak. Kita dah memang jaga elok pun.

“Ini semua kenyataan orang kecewa sebab orang Selangor pun tak nak dia. Kalau betul dia hebat sangat bertandinglah di Selangor dan selesaikan isu-isu yang ada di sana,” katanya.

BERITA BERKENAANBN hidu taktik pembangkang ‘hantar’ Tun M ke hospital