Manjung: Seorang pekerja sebuah pasar raya terkemuka di bandar ini terpaksa menghubungi bomba selepas satu unit termometer yang mengandungi merkuri pecah di pejabat pasar raya itu, pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung yang menerima panggilan jam 10.13 pagi menggerakkan pasukan untuk membersihkan sisa merkuri yang tumpah.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota membuat tinjauan bagi mengenalpasti lokasi kejadian dan mengelak kawasan dimasuki orang awam.

“Anggota melakukan pembersihan dengan menabur sulfur untuk menyerap sepenuhnya merkuri yang tumpah di lantai sebelum memasukkan bahan itu ke dalam beg plastik kimia,” katanya.

Menurutnya, lantai di kawasan itu dicuci dengan peluntur bagi memastikan ia bebas merkuri.

Katanya, pihaknya menamatkan operasi selepas mengesahkan kawasan berkenaan bebas daripada sisa merkuri pada 10.51 pagi.