IPOH– Bandar Meru Raya di sini, berupaya mencapai tahap bandar pintar (smart city) dengan mengambil kira statusnya sebagai kawasan perbandaran baru, yang dilengkapi kemudahan serta jaringan lebuhraya.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, semua syarikat khusus kepada teknologi digital, multimedia dan teknologi hijau dialu-alukan untuk membuka ibu pejabat atau cawangan di Meru Raya.

“Ini merupakan bandar baru, dan sudah ada infra untuk smart city cuma kita perlu sedikit nilai tambah dan saya menjemput kehadiran pemain industri bidang ICT buka operasi di sini.

“Meru Raya boleh menjadi pusat kepada bandaraya Ipoh, kini ia dilengkapi dengan pembinaan kompleks pentadbiran kerajaan serta perumahan yang mudah dengan jaringan lebuhraya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Asia Pacific Digital Technology Symposium 2018 dan International Digital Technology Exhibition 2018, di Casuarina@Meru pada Rabu.

Yang turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff dan Presiden Gabungan Pembekal-Pembekal Perkhidmatan Malaysia (MSPC), Choo Kok Beng.

Dalam pada itu menurutnya, konsep bandar pintar boleh dicapai sebagaimana Cyberjaya di Selangor yang menjadi pusat kepada Koridor Raya Multimedia (MSC).

“Saya berharap Meru Raya dapat berperanan sebagai pusat bandar pintar di Perak yang mempunyai keupayaan capaian fiber optik sepenuhnya.

“Bandar pintar itu lebih menjurus kepada pengunaan talian celular dalam kehidupan seharian, interaksi dengan masyarakat dan pegawai kerajaan menggunakan talian celular, tidak perlu ke pejabat kerajaan dan memudahkan kehidupan.

“Kita perlukan kerjasama dari semua pihak, kita yakin KPerak mampu realisasikan dengan kerjasama pihak lain tidak lama lagi,” ujarnya.

APDiTS 2018 mengumpulkan buah fikiran pemain industri digital tempatan dan antarabangsa dalam mencari jalan untuk merapatkan jurang digital di Perak.

Simposium sehari itu merupakan usaha strategik KPerak Inc. bersama-sama MSPC dan Dewan Perniagaan & Perindustrian Melayu Malaysia Perak.

Ia berlangsung serentak dengan Pameran Antarabangsa Teknologi Digital (IDTE) 2018 yang diadakan selama tiga hari sehingga 5 Oktober ini.