PETALING JAYA, 10 Ogos (Bernama) — Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merusuh dengan memecahkan cermin kaunter pertanyaan Balai Polis Damansara, Ahad lalu.

P. Selvan, 33, membuat pengakuan itu sambil ketawa di hadapan Majistret Atiqah Abd Karim@Husaini.

Bagaimanapun, Atiqah berkata mahkamah tidak akan menjatuhi hukuman itu hari ini kerana melihat kepada tingkah laku tertuduh yang ketawa semasa prosiding dan memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Tertuduh mengaku berkelakuan merusuh dan tidak senonoh di kaunter pertanyaan Balai Polis Damansara di sini pada 3.30 petang, 6 Ogos lepas mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Datin Raj Preet Kaur yang mewakili tertuduh merayu supaya anak guamnya tidak dijatuhi hukuman penjara atas alasan isteri tertuduh sedang mengandung anak ketiga.