Bersempena dengan sambutan 1 Syawal 1439H, Menteri Besar baharu YAB Ahmad Faizal Azumu ingin merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilftri kepada seluruh umat Islam di negeri ini.

Dalam perutusan khasnya, Menteri Besar bersama anggota keluarga serta mewakili seluruh barisan Exco negeri memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat perkara yang dilakukan menguris hati mana-mana rakyat.

Menurut pemimpin negeri itu sambutan Hari Raya tahun ini sudah pasti memberi satu makna serta pengalaman yang berbeza dalam perjalanan hidupnya sebagai anak, suami, bapa dan seorang pemimpin politik.

Atas tanggungjawab kepada negeri dan rakyat, sebagai anak beliau mungkin tidak dapat menjadi peneman setia ibunya Datin Zaleha Nordin yang berusia 75 tahun ketika sesi ziarah menziarahi sanak saudara, katanya.

Manakala sebagai suami dan bapa, sambutan hari raya mungkin tidak seperti sebelum ini dimana masa dan tumpuannya adalah pada isteri Dr Normee Ashikin Radzi dan anak-anaknya.

“Tapi ini perjuangan yang saya pilih demi rakyat, jadi saya perlu teruskan walaupun mungkin terpaksa korbankan banyak masa bersama keluarga untuk bersama-sama rakyat. Saya perlu bersikap adil kepada semua rakyat yang telah memilih Pakatan Harapan dan saya bersyukur…saya sudah bersedia untuk terima tanggungjawab yang besar ini,” katanya.

Beliau berkata ramai kalangan rakan-rakannya memberitahu bagaimana bertuahnya dirinya kerana telah ditakdirkan Allah SWT memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri.

“Ramai yang melihat jawatan Menteri Besar yang saya pegang ini sebagai satu keistimewaan. Namun tidak bagi saya. Pada saya ianya adalah satu amanah serta taggungjawab yang amat-amat besar.

Saya pasti ada banyak cabaran yang mendepani saya nanti. Saya perlu pastikan segala tindakan dan keputusan yang dibuat adalah untuk rakyat dan demi rakyat. Saya tidak akan sekali-kali cuba mengecewakan amanah yang diberi ini. Insha Allah,” katanya.

Beliau juga berikrar akan memastikan kerajaan negeri yang ada pada hari ini dapat melaksanakan tuga dengan penuh amanah, efektif, telus, ikhlas dan berwibawa.

Harapan beliau adalah untuk melihat rakyat dapat terus bersama-sama kerajaan baharu mencapai matlamat yang ditetapkan sebelum ini.

“Kami hanya nak minta rakyat terus bersama-sama kami, bersama-sama perbaiki perkara-perkara yang terdahulu terutamanya dari segi reformasi institusi dan budaya.

“Kita perlu bersama bekerjasama untuk mewujudkan budaya baharu iaitu rakyat serta kerajaan yang mempunyai budaya benci kepada rasuah dan kemungkaran.

“Saya juga mengharapkan supaya rakyat faham ia mengambil masa untuk mengubah perkara-perkara sebegini tetapi saya yakin ia dapat dilakukan sekiranya kepimpinan hari ini terus mendapat sokongan kuat rakyat Perak,” ujar beliau.

Beliau turut mendoakan supaya perayaan kali ini adalah antara terbaik buat dirinya dan juga sekalian rakyat.

“Jangan lupa kungjung mengunjung dan juga berjimat cermat dalam kita beraya, setelah sebulan kita melatih diri melawan nafsu, jangan ketika raya ini kita lepaskan nafsu itu semua, kita tetap perlu kawal,” katanya.

Kepada rakyat Perak yang bukan beragama Islam, Ahmad Faizal menyeru agar mereka bersama-sama merayakan hari raya dengan suasana penuh muhibbah, harmoni dan bersatu padu ke arah negara Malaysia yang lebih baik.