PETALING JAYA : PKR mengadakan mesyuarat khas hari ini susulan perkembangan politik semasa tanah air tanpa kehadiran pemimpin yang berada di kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti itu, di sini.

Bagaimanapun, kelibat kumpulan pemimpin yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin tidak kelihatan.

Antara yang hadir ialah Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul; Pengerusi MPN Pahang, Fuziah Salleh; Pengerusi MPN Negeri Sembilan, Aminudin Harun.

Yang lain ialah Pengerusi MPN PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh serta Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Turut kelihatan, Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew.

Johari ketika ditanya sama ada usul pemecatan pemimpin tertentu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat hari ini, beliau menafikan hal itu.

“Hal itu tak berbangkit. Ini mesyuarat biasa. Nak bincang apa yang sedang jadi sekarang (keadaan politik),” katanya sambil memaklumkan perkembangan yang berlaku sedikit mengecewakan banyak pihak termasuk pimpinan PKR.

Satu sidang media juga dijangka diadakan selepas tamat mesyuarat.