PETALING JAYA : Mesyuarat tertutup oleh beberapa pemimpin tertinggi PKR dari seawal jam 8 pagi tadi di sebuah hotel, di sini, ‘ditangguhkan’ seketika kira-kira jam 1 tengah hari.

Difahamkan, perjumpaan itu akan bersambung semula di lokasi sama pada jam 6 petang ini.

Turut difahamkan pada lewat petang nanti, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkemungkinan hadir untuk bertemu pemimpin yang berada dalam perjumpaan tertutup itu.

Terdahulu, empat pemimpin tertinggi PKR dilaporkan menghadiri mesyuarat tertutup di hotel berkenaan, pagi tadi.

Mereka ialah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin; serta dua Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Hamzah difahamkan mewakili BERSATU kerana beliau dilihat meninggalkan mesyuarat BERSATU di Petaling Jaya sebelum pertemuan itu tamat.