TAIPING: Mi Rojak tercemar dipercayai menjadi punca utama 103 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping mengalami keracunan makanan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Intergrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri Perak, A. Sivanesan berkata, mi rojak itu dihidangkan ketika makan tengah malam (supper) di dewan makan sekolah itu kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Menurut beliau, hasil siasatan awal Jabatan Kesihatan Perak, mendapati makanan itu dipercayai menjadi punca utama keracunan makanan.

Bagaimanapun, kata beliau, Jabatan Kesihatan tidak dapat membuat analisa makanan tersebut kerana ia telah dibuang.

“Tetapi siasatan mendapati mi disimpan selama 24 jam sebelum disediakan. Timun juga tidak dibuang kulit manakala suhu peti sejuk yang mereka simpan makanan ini, tinggi sehingga 15 Celsius,

“Lantai tempat masak juga tidak bersih dan longkang tidak diselenggarakan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan MRSM Taiping di sini, hari ini.

Hadir sama Pengetua MRSM Taiping, Noor Hassan Hussein dan Timbalan Pengarah Kesihatan Perak, Dr. B. Venugopalan.

Kes keracunan makanan di MRSM Taiping itu adalah kali kedua dalam tempoh tiga minggu dengan kejadian pertama berlaku pada 11 Julai lalu membabitkan 38 pelajar, termasuk dua yang dimasukkan ke wad.

Sivanesan memberitahu, Jabatan Kesihatan juga telah mengambil tindakan menyita premis tersebut dan mengeluarkan kompaun terhadap kontraktor penyajian makanan.

Beliau menambah, tender kontraktor berkenaan sebenarnya telah tamat pada 31 Julai lalu dan dilanjutkan berdasarkan bulan ke bulan.

Menurutnya, selepas kejadian keracunan kali kedua ipilih oleh mara ibupejabat tamat pada 31 julai, selepas itu dilanjutkan mengikut bulan ke bulan.

Tetapi disebabkan kejadian kedua itu, tender kontraktor berkenaan telah ditamatkan dan buat masa ini bekalan makanan untuk pelajar sekolah itu disediakan oleh kontraktor dari Gunung Semanggol.

Sivanesan berkata, kerajaan negeri sedang berbincang dengan Ibu Pejabat MARA untuk memilih pembekal lain, termasuk menimbangkan senarai kontraktor yang berdaftar dengan Jabatan Kesihatan.