IPOH – MIC Perak telah melantik sepasukan empat orang panel peguam sebagai pemerhati dalam perbicaraan kes pecah patung dewa dewi di Kuil Sri Muniswarer yang berlaku pada 24 April lalu.

Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango berkata, pasukan panel peguam itu yang diketuai Ketua Biro Guaman MIC, B. Rajandran akan bertindak sebagai pemerhati apabila individu yang terbabit dalam kes berkenaan di hadapkan ke Mahkamah pada 30 Mei ini.

“MIC Perak mengharapkan hukuman yang adil dapat dilaksanakan sebagai pengajaran kepada rakyat Malaysia agar tidak terbabit dalam perkara sensitif yang melibatkan agama di negara ini,” katanya dalam sidang media di Pejabat MIC di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, MIC sentiasa menjaga kepentingan kaum India terutama yang melibatkan isu agama kaum itu.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba mempolitikkn isu berkenaan kerana ia jelas melibatkan isu agama dan kepentingan kaum India di negara ini.