IPOH:Kenyataan Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Tan Sri M. Kayveas yang mahu bertanding di Parlimen Cameron Highland pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan dibangkitkan dalam Mesyuarat BN diperingkat pusat minggu ini, demikian kata, Pengerusi MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, ia kerana Parlimen Cameron Highlands merupakan kerusi tetap yang ditandingi MIC sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

Katanya, tiada sebab untuk MIC memberikan laluan pada mana-mana parti komponen BN bertanding di Parlimen berkenaan kecuali atas arahan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Permintaan kerusi daripada parti komponen adalah perkara biasa dan kalau kita lihat pun setiap kali menjelang pilihan raya perkara ini pasti berlaku.

“Namun, akhirnya nanti pucuk pimpinan diketuai pengerusi sendiri akan buat keputusan dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen MIC Negeri Perak yang ke-71 di sini, hari ini.

Semalam, Kayveas ketika ditemui dalam Konvensyen MyPPP Melaka kali ke-17 di Air Keroh menyatakan akan tetap bertanding di Parlimen Cameron Highland sama ada sebagai calon BN atau calon bebas.

Kayveas yang juga penasihat Kementerian Pengangkutan turut mendakwa beliau telah meminta ‘restu’ daripada Najib sebelum berkhidmat kepada masyarakat di Cameron Highlands kira-kira dua tahun lepas bagi memastikan kemenangan BN.

Subramaniam berkata, beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana Kayveas sanggup untuk bertanding atas tiket bebas sekiranya tidak dipilih untuk menjadi calon di Cameron Highlands.

Katanya, ia jelas membelakangkan prinsip kebersamaan yang ditonjolkan oleh setiap parti dalam komponen BN.

“Bertanding secara bebas itu bukan dibawah kuasa saya tetapi apa yang saya boleh beritahu adalah kalau dalam MIC, sesiapa yang mengeluarkan kenyataan sedemikan, maka individu itu berhak dipecat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga ahli Parlimen Segamat turut mengesyorkan supaya Kayveas bertanding di Pagoh sekiranya benar-benar mahu membantu BN mengapai kemenangan pada PRU14.

Beliau berkata, Parlimen itu dilihat sesuai ditandingi Kayveas memandangkan ia kini dikuasai bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah disingkirkan daripada UMNO.

“Kerana ianya dulu ditandingi UMNO, sekarang wakil rakyatnya adalah pembangkang. Oleh itu, kalau lihat dari logiknya elok lah dia ke Pagoh, bukan Cameron Highland,” katanya.