IPOH: MIC Perak meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan terhadap akhbar Malaysian Nanban yang mereka sifatkan sebagai keterlaluan sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Perhubungan MIC Perak, Datuk V. Elango berkata, terdapat berita dan artikel yang disiarkan akhbar itu tidak benar dan telah diputarbelit.

Beliau percaya akhbar berkenaan cuba menanam kebencian terhadap kerajaan, termasuk MIC dan kepimpinannya.

Beliau memberi contoh, minggu lalu, akhbar itu mendakwa kononnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak akan memberi apa-apa keistimewaan kepada kaum India dari segi kewarganegaraan.

 

“Kami semua ada di sana (dalam majlis yang sama), tidak benar sama sekali,” katanya dalam sidang media di pejabat MIC Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Pemuda MIC negeri, M. Neruji, Ketua Wanita, T. Thanggarani dan ketua-ketua bahagian.

Elango berkata, akhbar berkenaan turut memburuk-burukkan Presiden parti, Datuk Seri Dr S. Subramaniam kononnya tiada wawasan dan gagal mengawal parti.

“Itu semua tidak benar, Presiden sangat prihatin terhadap masyarakat India, bukan sahaja untuk ahli-ahli MIC tetapi semuanya,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan akhbar berkenaan supaya menghentikan apa yang disifatkannya sebagai sandiwara politik dan jangan cuba memecahbelahkan perpaduan kaum India di negara ini.