IPOH – Kerajaan Perak melantik penyanyi antarabangsa kelahiran Ipoh, Michael Wong sebagai Duta Pelancongan Perak bagi tempoh dua tahun sehingga 31 Julai 2021.

Pelantikan artis yang popular dengan lagu Fairy Tale (Tong Hua) dan terkenal di China serta Taiwan itu dibuat selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai kehadiran pelancong dari Asia Timur berkunjung ke negeri ini.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, duta pelancongan itu akan memainkan peranan dengan mempromosikan negeri Perak sebagai destinasi pelancongan utama di negara ini melalui empat tema iaitu pulau, pengembaraan, makanan dan budaya.

Menurutnya, penyanyi itu dijadualkan pulang ke Perak bulan hadapan untuk sesi bertemu peminat dan akan melancarkan risalah baharu yang memperkenalkan destinasi tarikan di Perak.

“Sempena program itu juga, satu mini ekspo yang bertemakan ‘Pride of Perak’ yang mengutamakan hasil produk istimewa tempatan dengan penceritaan dan pengisian unik akan diadakan.

“Selain itu, beliau juga akan mempromosikan gambar-gambar dan video promosi pelancongan negeri di beberapa lokasi antaranya Taman Negeri Royal Belum,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, pengaruh artis yang pernah dilantik sebagai Duta Pelancongan Malaysia pada 2006 hingga 2010 itu terbukti apabila bilangan pelancong dari China, Taiwan dan Hong Kong meningkat secara mendadak, malah tempat kelahirannya di Ipoh juga menjadi destinasi wajib dikunjungi kumpulan sasaran berkenaan.

Katanya, pada masa kini, pelancong China merekodkan jumlah kehadiran ketiga tertinggi ke Malaysia selepas Singapura dan Indonesia iaitu seramai 1.4 juta orang, tahun lalu.

“Kerana itu penting untuk kita adakan satu pendekatan agresif dengan melantik Michael Wong sebagai duta, kita harap pengaruh dimiliki sebagai artis selama 25 tahun ini dapat memberi impak dalam masa terdekat kepada perkembangan industri pelancongan Perak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kar Hing berkata, selama setahun ini beberapa rancangan untuk menarik perhatian pelancong di China telah dilakukan termasuklah mengadakan penerbangan terus Ipoh-Guangzhou bermula Oktober depan yang menyasarkan pelancong dari Asia Timur seperti China, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Korea.

Jelasnya, kerajaan negeri menerusi Tourism Perak juga telah memulakan siri promosi di China menggunakan Wechat dan Weibo kerana kedua-dua aplikasi ini paling digemari warga negara itu terutama golongan muda.

“Mengikut statistik, lebih daripada 60 peratus pengguna Weibo merupakan pelancong yang kerap merujuk maklumat dikongsi untuk destinasi pelancongan mereka,” katanya.