MANJUNG – Warga Filipina didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Manjung, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki kad pengenalan (Mykad) palsu, Selasa lalu.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim turut memerintahkan Wahid Abusaid, 49, dihukum penjara 12 bulan, jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh berketurunan Suluk yang berasal dari Mindanao didakwa memiliki Mykad palsu atas nama Nazir Ibrahim sebagai pengenalan diri.

Dia melakukan kesalahan itu di Sapura Kencana, Sitiawan, kira-kira jam 10.30 pagi.

Pendakwaan dilakukan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Ahmad Firdaus Md Rose manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, Wahid memaklumkan dia memperoleh Mykad itu dari seorang kawan dan setahun menggunakan identiti itu setelah dua tahun berada dalam negara.

Mengikut fakta kes, tertuduh memperakui menggunakan Mykad itu bagi mendapatkan pekerjaan di syarikat berkenaan. Semakan dijalankan mendapati nama dan nombor Mykad itu wujud tetapi ditampal gambarnya – sinar harian